Sunday 23 September 2012


Rumpai laut boleh lawan virus selsema
Thursday, 23 October 2003
Berita Harian

Tokyo: Seorang ahli penyelidik Jepun mendakwa, anggota pasukannya mendapati satu bahan daripada rumpai laut melawan virus selesema secara lebih berkesan dan memeberi kurang kesan sampingan berbanding ubat yang sedia ada. Bahan itu yang menghentikan proses pembiakan virus mungkin juga berkesan bagi melawan penyakit lain seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids), kata Yuto Kamei, penolong professor bioteknologi marin di Universiti Saga, selatan Jepun.

“Kami harap penemuan ini akan membawa kepada penciptaan ubat selesema baru. Kami baru melakukan ujian terhadap virus selesema. “Tetapi, ini juga mungkin membawa kepada usaha menghasilkan ubat bagi penyakit lain seperti Aids,” kata Kamei. Anggota pasukan Kamei mengasingkan satu bahan dipanggil MC26 daripada ‘sargassum piluliferum’, sejenis rumpai laut berwarna coklat di perairan cetek yang biasa ditemui di sepanjang pantai selatan Jepun.

Menggunakan sel yang diambil dari binatang dan ikan, anggota pasukan Kamei mengesahkan bahawa MC26 berkesan melawan virus selesema dengan menggunakan hanya satu pertiga daripada dos ‘amantadine hydrochloride’, ubat selesema biasa. “Amantadine hydrochloride’ menyebabkan kesan sampingan yang biasanya menyebabkan rasa mual, kata Kamei. “Ujikaji kami sehingga ini menunjukkan bahawa kesan sampingan MC26 kurang daripada amantadine,” katanya.

Beliau mengakui memerlukan masa bertahun-tahun untuk membangunkan ubat selesema baru itu. “Kami memberi tumpuan kepada penyelidikan kami terhadap selesema kerana ia penyakit biasa dan kami yakin pasaran ubat melawannya adalah besar dan sedia ada. “Bagaimanapun, mengenai kemungkinan bahan itu melawan virus lain termasuk Aids mungkin perlu disahkan menerusi ujian lanjut,” kata Kamei. Selesema mengancam kira-kira satu billion orang tua dan tidak upaya di seluruh dunia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Hanya 250,000 orang diberi vaksin selesema setiap tahun dan hampir 500,000 lagi maut setiap tahun kerana selesema. – APF

0 comments:

Post a Comment